
Hujung minggu lepas (4 & 5 Julai) aku, angah dan Pok Chu & family balik kampong. Sekarang ni musim buah rambutan & manggis. Seronok bila sesekali berkumpul sambil mengait buah.
Tapak rumah kampong dikelilingi oleh pokok-pokok buah. Antaranya: durian, rambutan, manggis, pulasan, dukong, rambai, , jambu air, belimbing, binjai, mangga, cempedak, sentol. Petai, jering & kerdas pun ade. Sebahagian dari pokok buah-buahan dikampung tu ditanam oleh aruah Tok Nyang dan Atok. Masa dulu, buah durian banyak tapi sekarang ni buahnya dah jarang sebab pokok pun dah tua. Mak pernah cerita masa dia kecik, dia selalu panjat pokok manggis. Maknanya pokok buah yg ade tu usianya dah lebih 70 tahun. Sebahagian lagi pokok ditanam oleh ayah. Aku masih ingat betapa susahnya ayah menanam & menyelenggara pokok- pokok itu. Alhamdulillah hasilnya dapat dirasai oleh anak cucu.
Aruah Tok Nyang merupakan seorang dukun dan pakar persilatan yg disegani dan mempunyai ilmu kebathinan yg tinggi. Dia juga seorang tukang rumah. Aku takut dengan Tok Nyang sebab rambutnya putih & bulu keningnya pun putih macam pahlawan Mat Kilau. Tok Chu Sadan pernah kata Tok Nyang ade sebilah keris yg boleh terbang. Betul atau tidak, wallahualam. Tok Nyang meninggal ketika usianya sekitar 100 tahun.
Aruah Atok pula merupakan imam masjid kampong yg amat disegani & dihormati. Atok juga menoreh getah dan mengerjakan sawah. Mak kata, mereka sekeluarga tak pernah beli beras. Padi yang ditanam cukup untuk keperluan sendiri dan selebihnya dijual. Masa musim menuai, kami selalu dapat makan emping (padi muda) dicampur dengan gula merah. Best. Sekarang ni sawah tu terbiar semak samun. Atok meninggal akibat sakit lelah.
Teringat masa kecik kecik dulu, setiap cuti sekolah kami akan balik kampong. Masa tu Atok & Wan masih ade. Dibaruh ade sebatang sungai. Dulu airnya jernih & bersih dan ada lubuk untuk memancing. Seronok untuk mandi manda. Tapi sekarang ni dah tak sesuai untuk mandi sebab dihulu ada penduduk bela lembu & najisnya disalur ke sungai.
Ayah & mak tinggal di KL. Bila Atok & Wan meninggal, rumah kampong tinggal kosong. Tak ade sapa yg tinggal kat rumah tu. Tapi boleh dikatakan setiap bulan ayah & mak akan balik kampong. Aku amat kagum dengan kesungguhan dan kepayahan ayah & mak untuk menjaga rumah pusaka itu.
Selalunya 2 minggu sebelum puasa, kami akan balik kampong untuk mengemas rumah. Kami adik beradik akan balik berkumpul di kampong bila hari raya. Masa nilah rumah kampong tu akan meriah & ceria.Tak taulah sapa yg nak jaga rumah pusaka tu bila ayah & mak dah tak de….